23 November 2009


Oleh: Ibnu Sayati

"

Salam perjuangan kepada mereka yang memperjuangkan jalan-jalan kebenaran dan sabar serta redha dalam rahmat Allah swt.Moga akan tiba masanya,jalan yang diperjuangkan akan menemui kemenangan hakiki.


Teman

Kita sering melupakan satu doa

Bermunajat kepada Maha Pencipta disetiap penjuru sepi

Menabur suatu himpunan hajat bertemankan tangisan hamba

Kepada setiap pejuang yang mempertaruhkan darah merah



Teman

Mungkin acapkali kita terlena

Sengaja melupakan satu doa

Meratap penuh kasih mempertaruhkan kudrat diri

Mendoakan saudara seagama yang hampir jatuh terkulai

Dan mungkin jua

Kita memperbiadapkan persaudaraan dengan cerita dusta

Mencarut fitnah dan memporak-perandakan setiap maruah

Hingga kita lupa dan melupakan satu doa



Teman

Kerisauan menghantui diri

Kadang-kala buruk sangka menghampiri

Mempersenda maruah saudara merentap kasih insan

Siapa kita menjajah semua ini

Perjuangan perlu pengorbanan

Bukan mempertaruhkan jasad-jasad sang munafik

Bertopengkan alunan rentak cinta dunia

Menggadai maruah bangsa

Tenggelam dan Berparut dusta



Teman

Kita cuba dekati diri

Munajatkan hati disetiap penjuru

Meratap satu doa bertemankan kesunyian malam

Merenung dosa yang sudah basi dan berbau

Melupakan satu doa

Diatas nama hamba

Bertemankan saudara

Kembali kepada jalan-jalan kebenaran
"
ALOR SETAR, 23 Nov: Penasihat Persatuan Ulamak Kedah (PUK), Syeikh Abu Bakar Awang Al-Baghdadi menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi tadi di Hospital Sutanah Bahiyah, dekat sini lantaran sakit tua.

Al-Marhum Syeikh Abu Bakar,84, semasa hayatnya bersama Al-Marhum Syeikh Niamat Yusoff mengasaskan Maahad Tarbiyah Islamiah Derang (MTID) seawal 1980. Beliau menjadi Syeikhul Perkampungan Maahad Derang sehingga akhir hayatnya.

Sebelum itu, kedua tokoh terkenal ini berkhidmat di Maahad Mahmud, bersama-sama dengan bekas Presiden PAS, Al-Marhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor. Ustaz Abu Bakar adalah pelajar awal Pondok Tuan Guru Haji Yahya Al-Junaid di Batu 16, Padang Lumat, Kedah.

(Gambar: Abu Bakar dengan anak-anak muridnya)

Beliau menyambung pengajian agama di sebuah universiti di Baghdad, Iraq. Empat tahun kemudian datang pula bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Hashim Jasin belajar di tempat sama.

Sebaik kembali dari Iraq, beliau yang berasal dari Perlis telah diamanahkan menjadi calon PAS dan bertanding dua kali di Dun Kayang, Perlis.

Ketika dihubungi di hospital, Mudir MTID, Syeikh Abdul Majid Abu Bakar An-Nadwi berkata, jenazah akan disolat dan dikebumikan di perkuburan Masjid Raudhatus-Solehin, Derang bersebelahan sahabat karibnya, Ustaz Niamat.

Ustaz Abu Bakar yang mempunyai hubungan darah dengan tokoh ulamak negara, Dato’ Dr Haron Din sangat mahir dalam bidang Feqah Muamalah dan menulis beberapa buku ilmiah mengenainya. Beliau meninggalkan empat cahayamata terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Ketika dihubungi Ustaz Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengucapkan takziah mewakili PAS negeri itu dan menyifatkan pemergian Ustaz Abu Bakar sebagai satu kehilangan besar kepada agama dan negara.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Azri Ahmad mengesahkan, Ustaz Abu Bakar menjadi Timbalan Ketua dewan itu dari 1995 hingga 2000 di bawah Al-Marhum Ustaz Azahari Abdul Razak.

“Dewan Ulamak PAS Kedah juga merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh ulamak ini yang berkorban jiwa raga di atas jalan perjuangan kebenaran, semoga Allah SWT mencucuri Rahmat-Nya ke atas rohnya,” ujar Azri.

18 November 2009

24 tahun Syuhada Memali

Oleh tok pepijat

Esok genap 24 tahun terjadinya Peristiwa Berdarah Memali. Peristiwa kejam yang berlaku di kawasan pendalaman di Baling itu mengakibatkan 13 syahid di tangan pihak polis. Seramai 3600 orang anggota polis terdiri Unit FRU, UTK, Senoi Praq dan anggota dari Bukit Aman terlibat dengan operasi yang di beri nama "Operasi Angkara". Operasi itu di bawah seliaan pegawai Bukit Aman.

Tujuannya menangkap Ustaz Ibrahim Mahmud untuk ditahan di bawah ISA.

Peristiwa pembunuhan itu berlaku ketika PM Dr. Mahathir melakukan lawatan ke China. Manakala Menteri Dalam Negeri yang menjaga PDRM adalah Musa Hitam. Manakala IGP adalah Hanif Omar..

Pada awalnya pihak kerajaan mendakwa berlaku operasi membasmi pengganas komunis. Kemudian menukar tajuk kepada pembasmian ajaran sesat. Berhari-hari media kerajaan terutamanya RTM, Utusan Malaysia dan Berita Harian "mendendangkan" lagu penipuan keatas rakyat mendakwa Ustaz Ibrahim Mahmod membawa ajaran sesat.

Menteri Penerangan yang menjaga RTM ketika itu adalah Rais Yatim yang kini menjawat semula jawatan itu.

Pembohongan kerajaan UMNO tidak bertahan lama. Sultan Kedah mencemar duli menyiram air mawar keatas 13 pusara syuhada Memali menutup terus "mulut jahat" Rais Yatim dan RTMnya.

Kini 24 tahun sudah berlalu. Banyak perkara boleh kita ambil pengajaran dan renungan :

a) Dr Mahathir masih hidup lagi. Tiada sepatahpun ucapan maaf terbuka kepada keluarga Syuhada Memali dan kesal atas peristiwa itu. Mungkin Tuhan panjangkan umurnya bagi beliau peluang bertaubat.

b) Seratus hari selepas Pembunuhan Memali, Musa Hitam letak jawatan sebagai Timbalan Menteri. Nasib Musa juga bertambah malang kerana kehilangan anak lelakinya dalam Peristiwa Keruntuhan Hightower 1994. Mungkinkah pembalasan Tuhan ?

c) Dua tahun selepas Pembunuhan Memali, UMNO berpecah dua. Team A dan Team B. Kemudian menjadi UMNO Baru dan Semangat 46.

d) Hanya seorang pimpinan UMNO yang memohon maaf atas Peristiwa Memali iaitu mantan SU UMNO Dato' Radzi Sheikh Ahmad (ketika itu dalam S46)meminta maaf secara terbuka kepada keluarga Memali. Ucapan itu tersiar di muka depan Harakah.

e) Tiga orang anggota polis yang terbunuh adalah ditembak oleh rakan mereka sendiri ketika serbuan. Bukti Ustaz Ibrahim dan pengikutnya tiada senjata api.

d) Tidak diketahui nasib Perwakilan UMNO Baling yang mengusulkan penangkapan Ustaz Ibrahim dalam Perhimpunan UMNO. Adakah hidup mereka bahagia atau sengsara akibat "kejahatan usul" mereka?

f) Juga tiada diketahui nasib anggota-anggota polis yang menyerang dan membunuh Ustaz Ibrahim dan pengikutnya samada bahagia atau sengsara? Kedengaran khabar, ramai diantaranya jadi kurang siuman. Waallahu'alam.

g) Majlis Memperingati Syuhada Memali diadakan setiap tahun. Sejak 5 tahun kebelakangan ini ianya ditiadakan atas permintaan keluarga anggota polis yang terlibat. Mengapa ? Mungkin mereka kesal apa yang telah berlaku.

h) Beberapa anggota Majlis Fatwa Kedah disingkirkan kerana menfatwakan kesyahidan Ustaz Ibrahim dan pengikutnya.


Beberapa hari selepas peristiwa yang menyayatkan hati itu berlaku, TG Haji Hadi Awang berucap di Markas PAS Taman Melawar. Ucapan beliau tersekat-sekat kerana hiba dan sedih. Ramai hadirin yang menangis dengan tangisan yang kuat ketika itu.

TG Nik Aziz pernah berkata tentang peristiwa tersebut : " Kita akan mengingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai ini seumur hidup. Akan kita ingat dan sebut terus menerus. Akan kita perkatakan hingga Hari Kiamat."

Jika rakyat Palestin mengingati Peristiwa Dier Yasin, rakyat Indonesia mengingati Peritiwa Tanjung Periuk, rakyat Iraq mengingati Peristiwa Fallejah. Rakyat Malaysia sewajarnya mengingati Peristiwa Memali. Satu perjuangan dan pengorbanan menentang ISA.


Berikut mereka yang syahid dalam Peristiwa Memali:


1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.
2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.
3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.
4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.
5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.
7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.
8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.
9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.
10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak..
14. Haji Abdul Rahmahbin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.

Hari Mengingati Para Syuhada' Memali

Ingatan kepada para Syuhada' dalam peristiwa pembunuhan kejam 14 orang ahli-ahli & penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) oleh pasukan polis yang menjadi suruhan kerajaan Malaysia yang dikuasai oleh parti perkauman sempit umno pada 19/11/1985.

TARIKH : 19 NOV 2009
MASA : 7.00 mlm- 12.00 mlm
TEMPAT : Madrasah Islahiah, Kg. Memali, Baling, Kedah

PENCERAMAH:
1. Tuan Haji Mohamad Sabu - AJK PAS Pusat
2. Ust Nasruddin Hassan Tantawi - Ketua Pemuda PAS Pusat
3. Ust Ahmad Yahya - Ketua Pemuda PAS Kedah
4. YB Senator Yusuf Husin - Setiausaha Perhubungan PAS Kedah

Aturcara:
7.00 malam - Solat Maghrib
7.30 malam - Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Tahlil
di pimpin oleh Tuan Guru Hj Salleh Musa
8.30 MALAM- Solat Isyak
9.00 malam - Ceramah Perdana

Semua Muslimin dan Muslimat dijemput

09 November 2009

Bai'ah taat setia, bukan cerai isteri: Mahfuz

ALOR SETAR - Memang benar ada bai'ah dalam Pas, tetapi ikrar taat setia kepada parti, bukaannya mencerai isteri dengan talak tiga sekiranya berhenti atau keluar parti, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, "Tiada taklik talak tiga dalam Pas yang bermaksud jatuh talak tiga sekali gus bagi seseorang wakil rakyat terhadap isteri mereka jika mereka 'melompat' parti selepas memenangi pilihan raya," katanya.


Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, apa yang dimaksudkan bai’ah dalam Pas adalah lafaz taat setia ahli pada parti bukannya melakukan penceraian seperti yang difahami sesetengah pihak.

“Bai’ah yang diamalkan Pas adalah ketaatan dan kepatuhan ahli terhadap perjuangan parti bukannya menceraikan isteri dengan talak tiga.

“Buat apa kita nak ceraikan isteri sedangkan mereka inilah yang memberi sokongan tetapi kalau ada segelintir ahli yang berfikir mahu menambah isteri, itu mungkin betul,” katanya ketika dihubungi, semlaam.

Beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya ada pihak yang memperbesarkan isu ini kerana mahu menjatuhkan Pas dengan menunjukkan bahawa parti itu tidak mempunyai tanggungjawab terhadap golongan wanita.

Mahfuz berkata, bai’ah yang diamalkan oleh Pas juga tidak pernah membabitkan institusi kekeluargaan kerana ahli Pas tidak mahu berl:akunya pengkhianatan terhadap keluarga.

:Menyokong kenyataan Mahfuz itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, ahli Pas bersedia untuk melakukan bai’ah untuk kebaikan mereka, keluarga dan juga parti.

:Menurutnya, amalan ini merupakan amalan sama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum baginda berangkat untuk pergi berperang kerana ia merupakan salah satu cara menunjukkan ketaatan seseorang itu terhadap perjuangannya.

:“Ahli kita sedia melaksanakan bai’ah sebelum menyertai Pas kerana inilah yang akan membuktikan ketaatan kita kepada parti dan kita juga sanggup berjuang demi mempertahankan Pas.

:“Jangan kaitkan bai’ah ini dengan isteri mahupun keluarga kerana ini bukanlah cara yang diamalkan oleh Pas,” katanya.

:Beliau berkata, pihak lain diminta agar tidak mencampuri urusan dalaman Pas termasuklah urusan angkat sumpah yang dilakukan kerana ini mampu merobohkan keutuhan yang telah dibina oleh parti itu.

05 November 2009

Maksiat diburu

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.


Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.


Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1 – 6 surah al-Waqi’ah :

إِذَا وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ لَيْسَ لِوَقْعَتِهَا كَاذِبَةٌ خَافِضَةٌ رَافِعَةٌ إِذَا رُجَّتِ الْأَرْضُ رَجًّا وَبُسَّتِ الْجِبَالُ بَسًّا فَكَانَتْ هَبَاءً مُنْبَثًّا
Maksudnya : Apabila berlaku hari kiamat itu, Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat). (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebebar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran.
Kita kini dapat menyaksikan bagaimana umur dunia kini sudah semakin tiba ke penghujungnya. Bukit dan gunung yang dulu teguh berdiri kini mula hancur musnah. Tanah yang tetap terhampar kini bergegar dan runtuh yang menelan bangunan dan manusia. Angin pula bertukar menjadi ribut ganas yang memusnahkan harta dan meragut nyawa manusia. Laut bergelora begitu kuat sehingga memusnahkan daratan. Air hujan melimpahkan air yang begitu banyak sehingga berlakunya banjir yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda. Api yang dulu jadi kawan kini membakar hutan dan bangunan. Manakala manusia mula merusuh tidak tentu hala sehingga keamanan yang dikecapi selama ini mula hancur dan musnah. Kesemua peristiwa yang berlaku mestilah diambil pengajaran yang sepatutnya terutama dalam mengingatkan kita bagaimana dunia semakin dekat kepada hari qiamat. Keadaan pada hari ini sudah begitu teruk apatah lagi bila berlakunya qiamat nanti. Masa berlalu begitu pantas tanpa menunggu umat manusia samada telah bersedia untuk menuju akhirat atau terus terpedaya dengan tipuan dunia. Ingatlah kita kepada suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Anas bin Malik katanya :

قال الرسول : لاَ تَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَكُوْنُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ وَالشَّهْرُ كَالجُمْعَةِ وَتَكُوْنُ الجُمْعَةُ كَاليَوْمِ وَيَكُوْنُ اليَوْمُ كَالسَّاعَةِ وَتَكُوْنُ السَّاعَةُ كَالضَّرْمَةِ بِالنَّارِ
Maksudnya : Tidak akan berlaku qiamat sehingga masa menjadi terlalu singkat. Setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seumpama seminggu, seminggu pula dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seolah-olah satu jam sahaja dan satu jam berlalu bagaikan satu percikan api sahaja
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Rasulullah s.a.w pernah menyatakan kepada kita bagaimana keadaan umat akhir zaman dengan qiamat terlalu dekat ibarat dua jari yang bersebelahan sahaja. Bila kita lihat apa yang berlalu disekeliling kita menunjukkan bahawa hampir kesemua alamat atau tanda-tanda qiamat yang diberitahu oleh Allah melalui nabi Muhammad s.a.w telah pun berlaku antaranya sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Anas:
: قال الرسول
مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَقِلَّ العِلْمُ وَيَظْهَرَ الجَهْلُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا وَتَكْثُرَ النِّسَاء ُوَيَقِلَّ الرِّجَالُ حَتَّى يَكُوْنََ لِخَمْسِيْنَ امْرَأَةً القَيِّمُ الوَاحِدُ
Maksudnya : Antara tanda qiamat itu ialah ilmu agama sedikit, kejahilan semakin jelas, perbuatan zina dilakukan terang-terang, jumlah perempuan cukup ramai manakala jumlah lelaki berkurangan sehingga bandingan 50 orang perempuan dijaga oleh seorang lelaki


Akibat buta agama dan lari daripada melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan seharian maka pelbagai jenayah dan kerosakan yang berlaku dalam masyarakat kita. TV dan akhbar tidak sunyi daripada menyiarkan berita tentang rompakan, pembunuhan dan buang anak akibat penzinaan yang semakin parah. Walau pun sudah terlalu banyak peringatan Allah terutama yang terbaru selsema babi, ribut taufan Filiphina dan gempa bumi Indonesia namun pengajaran yang sepatutnya mengetuk hati manusia tidak digunakan. Manusia sentiasa mencari alasan bahawa itu semua adalah bencana alam contohnya gempa bumi berlaku kerana Indonesia berada dalam kawasan ‘Lingkaran Api Pasifik’ sedangkan Malaysia berada di luar kawasan bahaya itu. Ingatlah bahawa ia tidak mustahil berlaku terutama berdasarkan rekod dari 2000 hingga Mei 2009, sebanyak 69 kali gempa bumi dilaporkan berlaku di Malaysia iaitu masing-masing 31 kali di Semenanjung dan Sabah, manakala tujuh lagi di Sarawak walau pun tidak sekuat dan sedahsyat negara lain. Jangan tunggu bala musibah menimpa atas batang hidung sendiri barulah mahu insaf dan bertaubat kepada Allah. Takutlah kepada Allah sepanjang masa dan tempat bukannya takut kepada kepada penyakit dan bencana alam. sebagainya. Jika dibiarkan makhluk perosak ini bermaharajalela mempermainkan Allah maka tunggulah saat kehancuran. Pilihlah samada kita terus membiarkan maksiat dan menunggu bala yang dahsyat atau kita bangkit menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar dan mendapat keberkatan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 179 surah al-A’araf :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.


Mimbar Jumaat pada hari ini tidak ketinggalan untuk mengajak kita untuk merenungi beberapa peristiwa pelik lain yang berlaku sekeliling kita seperti sejadah berdiri seolah-olah sedang solat di beberapa tempat di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang yang terus disiasat samada ia betul-betul terjadi atau pun bahan permainan budak nakal. Jika benar-benar berlaku maka ambillah iktibar bukannya dijadikan bahan khurafat seperti untuk menyedarkan umat Islam agar sentiasa menjaga solat terutama secara berjemaah. Kita mesti menangani masalah meninggal solat yang semakin parah dalam masyarakat kita pada hari ini terutama bila mendengar suatu kajian di mana 95 peratus pelajar sekolah menengah dan sekurangnya 60 peratus pelajar universiti tidak lengkap solat.
Kita juga tertarik dengan komen Majlis Mufti Rusia yang menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia 9 bulan di selatan Rusia merupakan amaran Allah kepada semua penduduk Islam di Rusia dan seluruh dunia agar mengikuti perintah Allah dengan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan membersihkan diri daripada dosa yang membolehkan kita mendapat keampunan dan keredhaan Allah. Jadilah kita sebagai hamba Allah yang sentiasa hidup hatinya iaitu diberitahu tentang pahala dan syurga maka berebut untuk mendapatkannya manakala bila disebut tentang bahaya dosa dan neraka maka gementar hati memikirkannya. Jangan sekali-kali kita menjadi manusia yang mati hati walau pun telah banyak peringatan yang didatangkan oleh Allah namun dia bukan sahaja tidak mengambil iktibar malah bertambah jahat melawan Allah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika menyoroti gempa bumi di Padang maka ambillah iktibar sewajarnya seperti ada dakwaan bahawa penduduk di sesetengah tempat di sana ada yang membayar nazar dengan menziarahi makam Syeikh Burhanudin setiap bulan Sofar, anak muda hidup cara barat dengan melakukan maksiat terang-terangan, ada sambutan perkahwinan yang dihidang arak sebagai tradisi, pesta Aidilfitri dengan maksiat di tepi pantai dan bulan Ramadhan yang turut dicemari maksiat. Kesemua penderhakaan ini memang mengundang bala Allah. Menyedari tentang betapa pentingnya tugas amar makruf nahi mungkar dalam membentuk sebuah negara yang aman dan diberkati Allah maka marilah kita sama-sama meningkat usaha ke arah memperkasa tugas yang mulia ini. Ingatlah kepada amaran Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Huzaifah :

عَنِالرسول قال :لَتَأْمُرَنَّ بِالمَعْرُوْفِ وَلَتَنْهَوُنَّ المُنْكَرِ أَوْ لَيُوْشِكَنَّ اللهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُوْنَهُ فَلا يُسْتَجَابُ لَكُمْ
Maksudnya: Suruhlah berbuat kebaikan dan cegahlah daripada kemungkaran atau jika tidak nescaya siksaan Allah boleh jadi akan menimpa kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah agar siksaan itu dihentikan maka permohonan kamu tidak diterima lagi.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Cara Agih Zakat Fitrah

Soalan;

Assalamualaikum. Bolehkah saya mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri, 3 org. anak kepada orang cacat. Zakat itu saya terus bagi kpd.nya.Semua zakat itu sebanyak Rm50 cth.nya saya bagi kepadanya.sahkah zakat saya

Jawapan;

Soalan saudara berkait dengan cara menyalur/mengagihkan zakat fitrah. Hukumnya adalah seperti berikut;

1. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana zakat-zakat yang lain iaitu kepada lapan golongan yang disebut oleh Allah dalam surah at-Taubah, ayat 60, iaitu;
a)Untuk golongan fakir
b)Untuk golongan miskin
c)Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
d)Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
e)Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
f)Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
g)Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
h)Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan

2. Namun hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin kerana terdapat arahan Rasulullah s.a.w. supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hari raya sebagaimana yang terdapat dalam satu hadis; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah keperluan mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri).[1]

3. Harus bagi orang yang mengeluarkan zakat fitrah mengagihkan sendiri zakat fitrahnya kepada orang-orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin. Memberi zakat kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka miskin dan memerlukan. Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak, cucu, bapa, ibu dan datuk) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.

4. Dalam mengagihkan zakat, harus kita memberi zakat kita kepada seorang fakir sahaja dan harus juga kepada ramai fakir jika zakat kita itu banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir. Lebih jelas; satu zakat hanya harus diberikan kepada seorang fakir sahaja. Adapun banyak zakat, ia harus sama ada hendak diberikan kepada seorang sahaja atau diberikan kepada ramai orang (dengan syarat setiap orang tidak mendapat kurang dari kadar satu zakat yang ditetapkan pada tahun tersebut).[2]

Merujuk kepada soalan saudara di atas, harus saudara memberi zakat kepada orang cacat jika mereka miskin atau sekurang-kurang berada di dalam salah satu dari lapan golongan yang berhak menerima zakat di atas. Semata-mata cacat belum tentu mereka layak menerima zakat kerana ada orang cacat yang kaya dan berada. Berhubung penerima zakat, harus saudara memberi kepada seorang penerima sahaja atau memberi kepada ramai penerima jika zakat itu banyak dan setiap orang menerima tidak kurang dari satu zakat.

Wallahu a’lam.

Meningkat Diri Melalui Mujahadah

PADA adatnya tidak mungkin kita sampai pada lapangan makrifat terhadap Allah SWT apabila kita tidak mahu bermujahadah, tidak mahu melihat kelemahan-kelemahan yang terkandung dalam diri kita, lebih-lebih lagi kelemahan itu berupa penyakit hati.

Oleh itu Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang berjuang di jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk mereka itu pada jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang membuat kebaikan.”

“Mujahadah” yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah memerangi hawa nafsu yang mengatasi segala kelemahan diri untuk mencapai dengan sempurna keredaan Allah SWT. Tegasnya, orang-orang yang mengerjakan sesuatu yang tidak baik bererti ia mendatangkan kekurangan pada peribadinya sendiri. Umumnya tabiat manusia tidak menghiraukan keaiban-keaiban tetapi mengutamakan pada hal-hal yang dianggap baik.


Meskipun sifatnya masih fatamorgana bahkan masih belum apa-apa, sama seperti orang sakit tidak mahu melihat penyakitnya untuk diubati tetapi perhatiannya lebih dahulu mengarah kepada hal-hal yang harus dikerjakan apabila ia sihat. Manusia yang sempurna dalam berfikir serta sempurna dalam perasaan akan melihat keaibannya lebih dahulu demi untuk mencapai keutamaan yang dicita-citakan.

Ulama tasawuf pernah berkata: “Hendaklah kamu mencari istiqamah dan jangan anda mencari karamah, kerana sesungguhnya nafsumu menggugatmu mencari kemuliaan, sedangkan Tuhan-mu menuntut kamu dengan istiqamah. Dan sesungguhnya berada di sisi hak Tuhanmu adalah lebih patut dari beradanya kamu dengan keuntungan diri anda.”

Allah menghendaki agar kita istiqamah pada jalan-Nya dan apabila kita selalu mematuhi kehendak-Nya maka dengan sendirinya Allah akan memberikan kurniaan pula buat kita iaitu keutamaan-keutamaan yang datang apabila amal yang ikhlas telah kita kerjakan. Oleh itu, kita harus mengutamakan hak Allah daripada mendahulukan keuntungan diri dan nafsu kita.
Tahukah anda, jalan apakah bagi kita untuk mengenal segala keaiban-keaiban diri kita dan dapat pula mengatasi semua itu? Imam Al-Ghazali r.a telah menunjukkan jalannya sebagai berikut:


• Hendaklah seseorang itu berada di bawah pimpinan seorang guru, dia dapat melihat kekurangan-kekurangan dan keaiban-keaiban serta penyakit-penyakit murid yang dipimpinnya. Dengan demikian si guru dapat mengeluarkan hukum-hukum atau jalan-jalan apakah yang harus dijalani oleh murid agar penyakit-penyakitnya sembuh.

• Bergaul dengan teman yang mencintai kita dan berhati benar terhadap kita. Bergaul dengan teman itu ertinya, kita dapat diawasi olehnya mengenai hal keadaan kita dan pekerjaan kita. Andainya kita menyimpang dari landasan yang sebenarnya, maka si teman tidak segan-segan menegur dan menasihati.

• Penyakit-penyakit atau keaiban-keaiban orang lain menjadi pengajaran bagi kita, agar kita tidak mengerjakan penyakit-penyakit yang serupa.

• Hendaklah banyak mengambil faedah dari pergaulan sesama kita. Mana yang baik untuk diikuti, maka kerjakanlah. Dan mana yang buruk hindarkanlah, sebab tabiat kemanusiaan antara satu dengan lain kadang-kadang saling berdekatan.

Demikian Imam Al-Ghazali dalam memberikan tuntutan dan nasihat kepada orang-orang sakit di mana segala penyakitnya itu dapat menjauhkannya dari Allah SWT. Bahkan dapat menjatuhkannya ke dalam kemarahan Allah SWT apabila si sakit tidak melaksanakan kewajipan-kewajipan selaku hamba terhadap Tuhannya.

Justeru, dalam kita menggali telaga kekurangan dan kelemahan yang terhimpun di dasar diri kita, maka lihatlah akan hikmat yang tersembunyi padanya. Jangan kita mengatakan bahawa Allah Ta'ala itu zalim kerana mengurniakan kelemahan pada hamba-Nya, tetapi renunglah bahawa dengan adanya kelemahan itu menjadikan “taqarrub” kita kepada Khaliq lebih bermakna. Maka sewajarnya kekurangan dan kelebihan yang terkumpul pada diri anak adam itu disyukuri untuk menzahirkan rasa kehambaan dan kecintaan kepada Pencipta.