18 February 2010

17 SAR Pulau Pinang dapat RM 1.75 juta


Oleh : Ibnu Sayuti







Demi membantu sekolah-sekolah yang tidak mendapat bantuan penuh daripada Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan peruntukan sebanyak RM5.8 juta dalam Bajet tahun 2010 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (C), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan sekolah Mubaligh bagi meningkatkan kemudahan fizikal dan pembangunan sekolah. Ini adalah tambahan RM 1.3 juta untuk Bajet 2010 kepada RM 5.8 juta berbanding dengan RM 4.5 juta dalam Bajet 2009 untuk 124 sekolah rendah Cina, menengah jenis kebangsaan dan sekolah mubaligh. Tambahan RM 1.3 juta dalam keadaan ekonomi gawat dan dana kewangan berkurangan menunjukkan komitmen kerajaan negeri membangunkan mutu pendidikan. Ia adalah penting agar Pulau Pinang dapat mengekalkan kelebihan modal insan terlatih supaya dapat bersaing di pentas antarabangsa.

Pada masa yang sama, tambahan RM250,000 diperuntukkan kepada 28 buah sekolah Tamil dan 17 buah Sekolah Agama Rakyat daripada RM 1.5 juta dalam Bajet 2009 kepada RM 1.75 juta dalam Bajet 2010 menjadi keseluruhannya RM 3.5 juta. Tambahan peruntukan ini menunjukkan penekanan kerjaan negeri ingin memperbanyakkan peluang pendidikan supaya dapat melipatgandakan para profesional agar dapat menjana transformasi kepada sebuah ekonomi berteraskan ilmu pengetahuan.

Prosedur pengagihan peruntukan untuk sekolah Tamil akan diuruskan oleh YB P Ramasamy dan Sekolah Agama Rakyat oleh YB Abdul Malik seperti sistem tahun lepas. Untuk 124 buah sekolah Cina dan mubaligh akan diuruskan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam YB Chong Eng mengenai prosedur begini. Sekolah berkenaan boleh menghubungi pemimpin tersebut. Mulai hari ini, pihak sekolah boleh membuat permohonan menerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal-ehwal Sekolah Cina Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh YB Puan Chong Eng, Ahli Parlimen merangkap Pengerusi jawatankuasa tersebut. Tarikh tutup permohonan adalah pada 18 Januari 2010 Pertambahan sebanyak RM 1.3 juta peruntukan pada tahun 2010 menunjukkan petanda baik serta komitmen Kerajaan Negeri terhadap kepentingan pendidikan di negeri Pulau Pinang khasnya dan negara kita amnya. Menerusi pengalaman Kerajaan Negeri pada tahun lalu, peruntukan pada tahun ini juga akan memberi keutamaan mengikut keperluan sekolah. Pihak sekolah boleh mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Penyelaras Hal-ehwal Sekolah Cina Negeri Pulau Pinang sekiranya memerlukan bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri.

Demi kepentingan pendidikan rakyat jelata, Kerajaan Negeri akan memberi pertimbangan ke atas setiap permohonan mengikut keperluan masing-masing. Semua peruntukan akan disalurkan ke Akaun Lembaga Pengarah Sekolah atau Akaun PIBG bagi Sekolah Mubaligh yang tidak mempunyai Lembaga Pengarah. Justeru, sekolah-sekolah yang ingin memohon bantuan perlulah merujuk kepada Garis Panduan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment