02 November 2010

Siapa jual tanah melayu... Jun 22, 2006

Oleh : Ibnu Sayuti


GEORGETOWN: Umno Bahagian Tanjung mahu syarikat atau konglomerat Melayu melabur di Pulau Pinang untuk menjadi tonggak dan pemegang amanah bagi menjaga kepentingan kaum itu di negeri ini.

Ketuanya, Datuk Ahmad Ibnihajar, berkata kedatangan syarikat terkemuka seperti Permodalan Nasional Bhd dan Lembaga Tabung Haji mampu mengubah kemelut yang dihadapi Melayu Pulau Pinang.

"Kita sudah mula merasakan kebimbangan kerana kepentingan orang Melayu di bahagian pulau sudah mula terhakis sedikit demi sedikit terutamanya di dalam pembahagian rumah dan beberapa sektor industri lain," katanya.

Ahmad berkata demikian pada sidang media selepas persidangan Umno Cawangan Lebuh Pantai yang dirasmikan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Tengku Syed Razlan Syed Putra Jamalullail di sini kelmarin.

Beliau berkata, isu orang Melayu terpinggir bukannya satu masalah baru yang ingin diperkatakan tetapi ia adalah satu perkara yang diperjuangkan sejak bertahun lamanya.

Apa yang dikesalkan, katanya, masalah seumpama itu berterusan sehingga ke hari ini dan ada kalangan orang Melayu sudah hilang keyakinan dan merasakan dianak tirikan.

Katanya, ini jelas dapat dilihat kepada kepentingan orang Melayu di Pulau Pinang semakin terhakis dengan setiap inci tanah dijual kepada bangsa asing untuk dibangunkan.

"Pada mulanya tanah itu adalah milik orang Melayu atau dirizabkan untuk orang Melayu tetapi dijual kepada bangsa asing dan mereka memperoleh keuntungan dengan membina projek hartanah di tapak sama.

"Contohnya, tanah milik orang Melayu di Balik Pulau mula dijual kepada bangsa lain dengan membangunkan pelbagai projek sehinggakan orang Melayu sendiri tidak mampu untuk membelinya.

"Projek tambatan laut di Tanjung Tokong seluas 240 hektar yang sepatutnya menjadi milik Melayu, juga dijual kepada syarikat bangsa lain dan mendirikan projek perumahan bernilai jutaan ringgit," katanya.

Ahmad berkata, apabila semua rumah yang didirikan bernilai ratusan ribu ringgit, orang Melayu tidak akan mampu memilikinya atau menyewanya.

Oleh itu, katanya, syarikat besar yang mempunyai kepentingan Melayu perlu melabur di negeri ini dengan membina projek perumahan mampu milik.

"Selain itu juga, juga diharapkan diwujudkan satu pemegang amanah untuk menjaga kepentingan Melayu supaya mereka dapat dibela," katanya.

No comments:

Post a Comment